Wednesday, April 19, 2017

6

7AIR penting bagi manusia dan alam sekitar. Manusia memerlukan air tawar bagi kegunaan harian dan aktiviti pertanian serta perusahaan; sektor pertanian adalah pengguna terbanyak pada kadar 62% diikuti oleh perusahaan 21% dan domestik 17%. Air juga penting bagi alam sekitar sebagai sokongan kepada proses biologi dan untuk menstabilkan suhu global.

Sumber bekalan air tawar berasal dari kawasan tadahan air termasuk sungai, tasik dan takungan. Namun begitu, permintaan ke atas sumber air semakin meningkat selaras de­ngan perkembangan pesat populasi manusia menjadikan kekurangan air sebagai salah satu cabaran utama di kebanyakan negara.

Pada 2010, Pertubuhan Air Dunia melaporkan bahawa permintaan terhadap air telah meningkat tiga kali ganda sejak tahun 1950 berbanding penambahan populasi dunia sebanyak dua kali ganda. Ini bermakna permintaan air dunia telah meningkat hasil daripada peningkat­an tahap kehidupan dan teknologi moden.

Walaupun 70% daripada permukaan bumi diselaputi air, jumlah bekalan air tawar adalah agak terhad berbanding air masin. Sehubung­an itu, pada masa ini, hampir dua bilion penduduk merentasi 40 negara telah terjejas dengan fenomena kekurangan air.

Mengikut Laporan Pembangunan Air Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikeluarkan pada 2003, sekiranya tiada usaha mitigasi yang berkesan diambil dengan segera, jumlah tersebut dijangka meningkat berlipat kali ganda kepada tujuh bilion merentasi 60 negara menjelang 2050.

Yang menjadi ironi ialah negara-negara yang mempunyai sumber air semula jadi yang melimpah seperti Malaysia turut mengalami masalah ‘tekanan’ air yang berkemungkinan besar disebabkan penambahan jumlah air tercemar dan penggunaan air bersih yang tidak terkawal.

Walaupun ekosistem air tawar mempunyai keupayaan semula jadi untuk mengganti dan ‘mensucikan’ air yang tercemar, kadar pencemar­an air yang semakin meningkat te­lah melangkaui keupayaan semula jadi ini.

Contoh paling jelas masalah ‘tekanan’ air yang berlaku di kawasan sekitar Sungai Kuning di China dan Sungai Yamuna di India. Air yang banyak dan melimpah di kedua-dua kawasan ini didapati tidak sesuai untuk kegunaan manusia kerana pencemaran yang melampau di sungai ini yang turut menjadi pembawa bahan buangan yang boleh bertindak sebagai vektor yang mengancam kesihatan manusia.

manusia.

Krisis Air di Malaysia

Malaysia bertuah kerana dilim­pahi dengan sumber air tawar dengan purata tahunan 324 bilion meter padu air hujan. Bekalan air tidak sepatutnya menjadi satu permasalahan, namun keadaan yang sebaliknya berlaku; pada Februari 2014, krisis air telah diisytiharkan di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor apabila kemarau panjang menge­ringkan takungan air di nege­ri-negeri ini.

Kekurangan air telah mula menjadi fenomena biasa di Malaysia semenjak 1982 di Kedah diikuti de­ngan Melaka pada 1991. Kes terburuk adalah krisis air Selangor 1998 yang telah menjejaskan lebih kurang 1.8 juta penduduk untuk tempoh enam bulan.

Pada 2002, fenomena ini menjalar ke Perlis seterusnya Negeri Sembilan dan Johor pada 2005. Memandangkan kebanyakan daripada krisis air yang besar berlaku di Sela­ngor (1998, 2002, 2007, 2012, 2013 dan 2014), fenomena ini mungkin merupakan petanda bahawa sumber air sedang mengalami ‘tekanan’ akibat daripada pembangunan dan perancangan yang gagal untuk mengambil kira had keupayaan alam sekitar untuk melalui proses pemulihan secara semula jadi.

Musim panas yang berpanjang­an bukanlah satu-satunya faktor penyebab krisis air kerana keadaan ini telah dijangka dan telah sepatutnya dimasukkan di dalam pelan kontijensi. Krisis air di negara ini menjadi lebih teruk disebabkan oleh pengurangan kualiti air yang menjadikannya tidak layak untuk penggunaan manusia dan juga akhirnya menjadikannya tidak sesuai untuk menjalankan tugas ekologinya.

Kualiti air yang rendah berpunca daripada peningkatan jumlah su­ngai yang tercemar, kemusnahan kawasan tadahan air akibat aktiviti penebangan hutan dan pembangun­an pesat di kawasan tinggi.

Pelbagai insiden kontaminasi telah dilaporkan berlaku akibat daripada pembuangan sisa dari industri perkilangan, penternakan, pembinaan dan perladangan, tumpahan minyak dan juga aktiviti perlombong­an pasir, yang kese­muanya boleh menjejaskan kualiti air dan menyebabkan kebanyakan pusat merawat air ditutup kerana kehilangan keupayaan merawat air yang sangat tercemar dan akhirnya membawa kepada gangguan bekalan air paip.

Selain masalah pencemaran, amalan penggunaan air yang tidak efisien juga menyumbang kepada ketidakcukupan bekalan air bersih. Jangkaan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Air Malaysia, Ahmad Zahdi Jamil, pada 2011 bahawa, sekiranya rakyat Malaysia masih berterusan dengan amalan membazirkan air, krisis air yang serius akan melanda Malaysia seawal 2014.

Jangkaan ini telah pun menjadi realiti apabila beberapa catuan air telah berlaku di Selangor dari Februari hingga Mei 2014. Pada 2011, rakyat Malaysia dilaporkan menggunakan 226 liter air tawar sehari berbanding rakyat Singapura (154 liter) dan Thai (90 liter).

Satu lagi faktor penyumbang kepada krisis air ini ialah kehilangan air tanpa punca pendapatan. Secara contohnya pada 2012, dianggarkan sebanyak 1,994 bilion liter air atau 36.4% daripada jumlah air yang dirawat dan disalurkan telah hilang akibat kebocoran paip. Peratusan kehilangan air ini agak tinggi berbanding purata kehilangan air di Jepun (3%) dan Singapura (5%).

Kesimpulannya, tekanan ke atas permintaan air berlaku kerana kadar penggunaan yang melebihi kemampuan sumber air untuk bertambah secara proses semula jadi melalui air hujan dan sumber air dalam bumi, yang menjadi semakin sukar akibat daripada fenomena El-Nino dan kemarau berpanjangan. Ketidakupayaan pusat rawatan air untuk merawat dan memproses air yang terlalu tercemar juga telah menyebabkan tekanan menjadi lebih teruk.

Permintaan air tawar di kawasan padat penduduk dengan keperluan industri yang besar juga telah memburukkan lagi keadaan. Pada Jun 2013 sahaja, purata permintaan air di Selangor dilaporkan telah mening­kat kepada 4,689 juta liter sehari sedangkan keupayaan 34 pusat me­rawat air di negeri tersebut hanya mampu memproses 4,661 juta liter air sehari.

Oleh yang demikian, perancang­an mapan dari pihak kerajaan dan kerjasama semua pemegang taruh adalah penting bagi memastikan krisis air di Malaysia tidak berubah menjadi satu bencana ke atas negara yang mempunyai sumber air tawar semula jadi yang melimpah.

No comments:

Post a Comment