Air ternyata mempunyai peranan yang sangat penting bagi kehidupan manusia. Selain itu, air juga sangat penting bagi tubuh manusia. Kandungan air pada tubuh manusia jumlahnya jauh lebih besar bila dibandingkan dengan kandungan zat-zat yang lain. Kandungan air pada tubuh bayi boleh mencapai 75% – 80% yang kemudian seiring dengan pertumbuhan tubuhnya, kandungan air pada manusia dewasa pula berkurang hingga mencapai 60% – 65% untuk lelaki dan 50% – 60% untuk wanita. Otak manusia juga terdiri dari 85%. Sedangkan tulang kita terdiri dari 10% – 15% air. Struktur kimia dari air adalah H2O dan baik hidrogen mahupun oksigen masing-masing memiliki peranan yang bukan lagi penting tetapi telah menjadi sangat penting dalam sistem kehidupan manusia. Ekoran daripada hal ini sudah tentunya kita inginkan badan yang sihat dan jauh dari penyakit merbahaya seperti jangkitan bakteria dan kuman yang tanpa kita sedari berpunca daripada air yang kita ambil setiap hari untuk keperluan badan kita. Hal ini dapat kita selesaikan dengan mengetahui tahap kesihatan air itu atau dalam erti kata yang lain dengan mengetahui tahap kualiti air itu sama ada tercemar ataupun selamat untuk diminum dan digunakan.
Terdapat beberapa jenis penyakit yang berbahaya jika kita menggunakan air yang tidak berkualiti dan tercemar. Antaranya ialah penyakit dairrhoel dimana ianya terjadi disebabkan sama ada virus atau bakteria patogen yang berada didalam air itu. Ini juga merupakan penyebab utama kematian kanak–kanak di negarnegara berpendapatan rendah. Selain itu, penyakit cholera (taun) yang disebabkan oleh jangkitan virus (kuman) iaitu vibrio cholera. Virus ini biasanya ditelan melalui air minuman yang tercemar kerana pengendalian yang tidak bersih atau melalui ikan yang tidak dimasak dengan betul. Ada juga penyakit seperti leptospirosis (kencing tikus), typhoid fever (demam kepialu) yang turut berpunca daripada air yang tidak berkualiti dan tercemar. Oleh itu pentingnya untuk masyarakat diberi pendedahan mengenai kepentingan kualiti air ini. Perkara-perkara sebegini mungkin masih mampu dikurangkan dan dihindari sekiranya setiap masyarakat menjalankan tanggungjawab mereka masing-masing terhadap apa yang mereka ambil dan juga kepada ekosistem di sekitar. Kesedaran ini secara tidak langsung akan mampu untuk mengurangkan aktiviti-aktiviti yang hanya memberi kesan tidak baik kepada air seperti pembuangan sisa toksik, perlombongan terhadap sungai-sungai dan juga tasik.
Berkaitan air daripada bekalan paip air awam pula, terdapat ramai masyarakat yang tertanya-tanya sama ada ianya adalah selamat untuk diminum tanpa melalui proses rawatan tambahan seperti menggunakan alat penapis air (water filter) atau bagaimana. Bagi memberi pencerahan kepada persoalan ini, saya telah mendapatkan maklumat mengenainya di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia. Menurut laman itu, bekalan air awam telah melalui suatu proses rawatan yang ketat mengikut fasa-fasa rawatan yang ditetapkan hingga dapat mencapai piawaian yang dikehendaki. Fasa-fasa proses rawatan yang asas adalah bermula dengan rawatan Pengudaraan, Flokulasi dan Kogulasi, Pemendapan, Penapisan, Pembetulan pH (jika perlu), Flouridasi dan Pengklorinan. Proses rawatan tersebut terbukti dapat menyah-lupus semua unsur-unsur yang tidak dikehendaki pada air minum. Kawalan kualiti pula dijalankan pada peringkat akhir proses rawatan sebelum pengagihan bekalan air dilakukan manakala pemantauan secara rutin dan berkala dilaksanakan disepanjang rangkaian sistem bekalan air sebelum diterima oleh pengguna. Dengan itu bekalan air yang dibekalkan daripada bekalan paip air awam adalah selamat untuk diminum tanpa perlu melalui apa-apa proses selanjutnya.
Suatu lagi persoalan yang sering merungsingkan fikiran masyarakat kita adalam apabila melihat kepada kekeruhan yang berlaku pada bekalan air awam dan adakah kekeruhan boleh memberi kesan kepada kesihatan? Sebenarnya, kekeruhan terjadi pada sesuatu badan air (water body) disebabkan kehadiran bahan-bahan terampai yang terdapat di dalam air tersebut seperti kelodak atau enap cemar. Bahan terampai ini boleh menjadi tempat perlindungan kepada mikrorganisma khususnya mikrorganisma patogen. Kekeruhan bekalan air awam juga boleh berlaku disebabkan oleh penggunaan paip air yang telah usang dan berusia, penyelenggaraan tangki air (SRO) tidak dilakukan secara berkala, kerosakan atau kebocoran sistem rangkaian paip, kerja-kerja baik-pulih paip rangkaian. Manakala proses pembasmian kuman (pengklorinan) pula menjadi kurang efektif sekiranya tahap kekeruhan itu terlalu tinggi. Walaubagaimanapun pemantauan ke atas bekalan air awam sentiasa dilakukan secara rutin supaya tahap kekeruhan tidak melebihi paras maksimum yang dibenarkan iaitu 5 NTU.
Berkaitan teknologi yang digunapakai di era moden ini bagi menapis air sudah tidak asing lagi kita dengar melalui iklan-iklan yang memerusi media massa seperti televisyen, radio, suratkhabar, laman sesawang dan sebagainya. Tetapi yang menjadi persoalannya, sejauh manakah kita mengetahui bahawa sistem penapisan yang manakah baik untuk kesihatan kita. Yang acapkali kita dengar adalah sistem penapisan RO Water (Reverse Osmosis Water), tetapi yang jarang kita dengar adalah sebenarnya air yang dihasilkan melalui sistem ini adalah tidak baik untuk kesihatan kita kerana air ini tidak mengandungi sebarang zat yang diperlukan oleh badan kita. Setiap hari kita kebiasaanya tidak mengambil makanan dengan zat yang betul bukan, jadi disini air lah yang menjadi punca meneutralkan dan menambah zat di dalam badan kita. Cuba bayangkan sekiranya air yang kita ambil itu langsung tidak mempunyai zat, bagaimana ia mampu untuk menyokong sistem dalam badan kita? Sebenarnya masih banyak teknologi penapisan air yang mempunyai mineral yang tinggi dalam airnya yang banyak di negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun yang sangat menitikberatkan kualiti air. Antaranya teknologi nano dan juga penapis Cuckoo dimana air yang dihasilkan menerusi teknologi ini sangat baik untuk tubuh badan kita.
Akhir sekali, ingin saya tegaskan sekali lagi menerusi penulisan ini bahawa kualiti air sangat penting dalam kehidupan kita dan perlu dititikberatkan demi menjamin kesihatan kita juga demi mengurangkan pencemaran yang berlaku. Hal ini dapat dijayakan sekiranya masyarakat sedar mengenai kepentingan kualiti air ini.
No comments:
Post a Comment