Wednesday, April 19, 2017

6

7AIR penting bagi manusia dan alam sekitar. Manusia memerlukan air tawar bagi kegunaan harian dan aktiviti pertanian serta perusahaan; sektor pertanian adalah pengguna terbanyak pada kadar 62% diikuti oleh perusahaan 21% dan domestik 17%. Air juga penting bagi alam sekitar sebagai sokongan kepada proses biologi dan untuk menstabilkan suhu global.

Sumber bekalan air tawar berasal dari kawasan tadahan air termasuk sungai, tasik dan takungan. Namun begitu, permintaan ke atas sumber air semakin meningkat selaras de­ngan perkembangan pesat populasi manusia menjadikan kekurangan air sebagai salah satu cabaran utama di kebanyakan negara.

Pada 2010, Pertubuhan Air Dunia melaporkan bahawa permintaan terhadap air telah meningkat tiga kali ganda sejak tahun 1950 berbanding penambahan populasi dunia sebanyak dua kali ganda. Ini bermakna permintaan air dunia telah meningkat hasil daripada peningkat­an tahap kehidupan dan teknologi moden.

Walaupun 70% daripada permukaan bumi diselaputi air, jumlah bekalan air tawar adalah agak terhad berbanding air masin. Sehubung­an itu, pada masa ini, hampir dua bilion penduduk merentasi 40 negara telah terjejas dengan fenomena kekurangan air.

Mengikut Laporan Pembangunan Air Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikeluarkan pada 2003, sekiranya tiada usaha mitigasi yang berkesan diambil dengan segera, jumlah tersebut dijangka meningkat berlipat kali ganda kepada tujuh bilion merentasi 60 negara menjelang 2050.

Yang menjadi ironi ialah negara-negara yang mempunyai sumber air semula jadi yang melimpah seperti Malaysia turut mengalami masalah ‘tekanan’ air yang berkemungkinan besar disebabkan penambahan jumlah air tercemar dan penggunaan air bersih yang tidak terkawal.

Walaupun ekosistem air tawar mempunyai keupayaan semula jadi untuk mengganti dan ‘mensucikan’ air yang tercemar, kadar pencemar­an air yang semakin meningkat te­lah melangkaui keupayaan semula jadi ini.

Contoh paling jelas masalah ‘tekanan’ air yang berlaku di kawasan sekitar Sungai Kuning di China dan Sungai Yamuna di India. Air yang banyak dan melimpah di kedua-dua kawasan ini didapati tidak sesuai untuk kegunaan manusia kerana pencemaran yang melampau di sungai ini yang turut menjadi pembawa bahan buangan yang boleh bertindak sebagai vektor yang mengancam kesihatan manusia.

manusia.

Krisis Air di Malaysia

Malaysia bertuah kerana dilim­pahi dengan sumber air tawar dengan purata tahunan 324 bilion meter padu air hujan. Bekalan air tidak sepatutnya menjadi satu permasalahan, namun keadaan yang sebaliknya berlaku; pada Februari 2014, krisis air telah diisytiharkan di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor apabila kemarau panjang menge­ringkan takungan air di nege­ri-negeri ini.

Kekurangan air telah mula menjadi fenomena biasa di Malaysia semenjak 1982 di Kedah diikuti de­ngan Melaka pada 1991. Kes terburuk adalah krisis air Selangor 1998 yang telah menjejaskan lebih kurang 1.8 juta penduduk untuk tempoh enam bulan.

Pada 2002, fenomena ini menjalar ke Perlis seterusnya Negeri Sembilan dan Johor pada 2005. Memandangkan kebanyakan daripada krisis air yang besar berlaku di Sela­ngor (1998, 2002, 2007, 2012, 2013 dan 2014), fenomena ini mungkin merupakan petanda bahawa sumber air sedang mengalami ‘tekanan’ akibat daripada pembangunan dan perancangan yang gagal untuk mengambil kira had keupayaan alam sekitar untuk melalui proses pemulihan secara semula jadi.

Musim panas yang berpanjang­an bukanlah satu-satunya faktor penyebab krisis air kerana keadaan ini telah dijangka dan telah sepatutnya dimasukkan di dalam pelan kontijensi. Krisis air di negara ini menjadi lebih teruk disebabkan oleh pengurangan kualiti air yang menjadikannya tidak layak untuk penggunaan manusia dan juga akhirnya menjadikannya tidak sesuai untuk menjalankan tugas ekologinya.

Kualiti air yang rendah berpunca daripada peningkatan jumlah su­ngai yang tercemar, kemusnahan kawasan tadahan air akibat aktiviti penebangan hutan dan pembangun­an pesat di kawasan tinggi.

Pelbagai insiden kontaminasi telah dilaporkan berlaku akibat daripada pembuangan sisa dari industri perkilangan, penternakan, pembinaan dan perladangan, tumpahan minyak dan juga aktiviti perlombong­an pasir, yang kese­muanya boleh menjejaskan kualiti air dan menyebabkan kebanyakan pusat merawat air ditutup kerana kehilangan keupayaan merawat air yang sangat tercemar dan akhirnya membawa kepada gangguan bekalan air paip.

Selain masalah pencemaran, amalan penggunaan air yang tidak efisien juga menyumbang kepada ketidakcukupan bekalan air bersih. Jangkaan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Air Malaysia, Ahmad Zahdi Jamil, pada 2011 bahawa, sekiranya rakyat Malaysia masih berterusan dengan amalan membazirkan air, krisis air yang serius akan melanda Malaysia seawal 2014.

Jangkaan ini telah pun menjadi realiti apabila beberapa catuan air telah berlaku di Selangor dari Februari hingga Mei 2014. Pada 2011, rakyat Malaysia dilaporkan menggunakan 226 liter air tawar sehari berbanding rakyat Singapura (154 liter) dan Thai (90 liter).

Satu lagi faktor penyumbang kepada krisis air ini ialah kehilangan air tanpa punca pendapatan. Secara contohnya pada 2012, dianggarkan sebanyak 1,994 bilion liter air atau 36.4% daripada jumlah air yang dirawat dan disalurkan telah hilang akibat kebocoran paip. Peratusan kehilangan air ini agak tinggi berbanding purata kehilangan air di Jepun (3%) dan Singapura (5%).

Kesimpulannya, tekanan ke atas permintaan air berlaku kerana kadar penggunaan yang melebihi kemampuan sumber air untuk bertambah secara proses semula jadi melalui air hujan dan sumber air dalam bumi, yang menjadi semakin sukar akibat daripada fenomena El-Nino dan kemarau berpanjangan. Ketidakupayaan pusat rawatan air untuk merawat dan memproses air yang terlalu tercemar juga telah menyebabkan tekanan menjadi lebih teruk.

Permintaan air tawar di kawasan padat penduduk dengan keperluan industri yang besar juga telah memburukkan lagi keadaan. Pada Jun 2013 sahaja, purata permintaan air di Selangor dilaporkan telah mening­kat kepada 4,689 juta liter sehari sedangkan keupayaan 34 pusat me­rawat air di negeri tersebut hanya mampu memproses 4,661 juta liter air sehari.

Oleh yang demikian, perancang­an mapan dari pihak kerajaan dan kerjasama semua pemegang taruh adalah penting bagi memastikan krisis air di Malaysia tidak berubah menjadi satu bencana ke atas negara yang mempunyai sumber air tawar semula jadi yang melimpah.

5

AIR adalah sumber penting dalam kehidupan. Di dalam al-Quran, ayat 30, surah al-Anbiya’ menjelaskan dengan maksudnya: “... dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup, maka mengapa kamu tidak mahu beriman? Ayat ini menunjukkan betapa air memainkan peranan yang penting dalam kejadian pelbagai makhluk Allah SWT dan untuk itu makhluk tersebut juga berhajat terhadap air.

Oleh itu, boleh dilihat bahawa 60 peratus daripada tubuh manusia adalah air dan sebahagian besar daripada jumlah air itu terdapat di dalam sel manusia. Selain itu, hampir 71 peratus muka bumi dipenuhi air. Bukan sahaja di laut, air juga wujud di dalam udara (wap air), sungai, tasik, tukup ais, glasier, tanah dan akuifer.

Malah, melalui kitaran air, air di planet bumi ini bergerak secara tetap dari satu tempat ke tempat lain dan tanpa kitaran ini, bumi akan hilang ‘nyawanya’. Jelas, air adalah nadi kehidupan.

Dari satu segi, air amat penting demi kelangsungan hidup manusia. Air digunakan dalam hampir setiap aspek kehidupan manusia. Bukan sahaja untuk minum, air juga digunakan dalam pelbagai bentuk kegiatan harian manusia seperti membasuh, mandi, beribadat dan sebagainya.

Selain kegunaan domestik, air juga penting dalam kegiatan ekonomi seperti perindustrian, perkilangan dan pengangkutan. Malah, air juga memungkinkan penjanaan tenaga elektrik berlaku di empangan-empangan.

Dari sudut lain, air juga boleh membawa kemusnahan kepada manusia. Kemusnahan ini terjadi apabila berlakunya masalah banjir, banbanjir, banjir lumpur mahupun pencemaran air di sungai serta hujan asid.

Walau bagaimanapun, perlulah ditegaskan di sini bencana yang disebutkan itu hanya akan berlaku apabila manusia sendiri gagal menguruskan air dan alam persekitaran dengan baik.

Apabila manusia tidak menjaga kebersihan, membiarkan sampah bertaburan tanpa diurus, menebang pokok secara rakus, menggondolkan tanah tanpa belas kasihan, membebaskan bahan cemar ke air tanpa rasa bersalah, membangunkan kawasan tanpa perancangan yang bijak dan mesra alam, maka ketika itulah air membawa malapetaka kepada kehidupan manusia.

Namun adakah manusia sedar akan hakikat kepentingan air? Adakah mereka tahu bahawa bukan mudah untuk memperoleh air bersih? Adakah mereka mengakui untuk mendapatkan air, maka alam sekitar secara keseluruhannya perlu dipelihara dan dipulihara? Dan adakah mereka insaf dengan kenyataan bahawa manusialah agen perosak kualiti dan kuantiti air yang paling aktif?

Apabila melihat kepada kemusnahan sumber air masa kini, persoalan tentang kesedaran kepen­tingan air dan persoalan menghargai air seolah-olah telah dijawab. Kenyataannya, tidak ramai yang sedar tentang kepentingan sumber air. Apabila tiada kesedaran, maka mampukah mereka menghargai sumber anugerah Ilahi itu? Saban hari ada sahaja berita tentang kemusnahan sumber air.

Misalnya, pada awal Mac 2015, dilaporkan tentang pencemaran air di Cameron Highlands yang berpunca daripada penerokaan tanah secara tidak terkawal dan penggunaan racun perosak yang diharamkan. Begitu juga dengan pencemaran air di perairan pantai Batu Feringghi yang berpunca daripada pembuangan sisa restoran, pusat membasuh kereta dan kedai dobi. Kes ini dibangkitkan sejak awal 2014 lagi dan sehingga kini usaha-usaha menyelamatkan kawasan peranginan itu masih giat dilaksanakan.
Dua contoh di atas adalah sebahagian daripada kes-kes yang dilaporkan. Namun, dipercayai masih terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan dan pastinya ini menimbulkan kebimbangan kepada semua. Sampai bila hal ini harus berlaku dan sampai bila kita akan bersikap sambil lewa terhadap air yang menjadi sumber kelangsungan hidup?

Sikap tidak acuh ini sebenarnya menggambarkan nilai kita terhadap sumber air tersebut. Walaupun manusia amat memerlukan air, namun kita meletakkan nilai yang amat rendah terhadap sumber berkenaan. Malah dalam banyak keadaan kita menilai air mahupun sumber alam yang lain berdasarkan kepentingan diri manusia semata-mata.

Misalnya, manusia memerlukan air untuk minum maka air itu penting. Namun, air bukan semata-mata untuk manusia. Terdapat makhluk lain di bumi ini yang juga bergantung kepada air untuk kelangsungan hidup. Namun, berapa ramai yang menyedari hakikat ini?

Oleh itu, membentuk nilai yang betul terhadap alam sekitar amatlah penting. Nilai di sini bukan sahaja merujuk kepada nilai alam dan sumbernya yang boleh digunakan oleh manusia tetapi nilai yang melihat alam serta isinya sebagai ciptaan Allah SWT dan mempunyai hak untuk mendiami bumi sama seperti manusia. Jika manusia tunduk patuh kepada Allah SWT, alam dan isinya juga begitu.

Ini ditunjukkan dalam ayat 18, surah al-Hajj (22), yang maksudnya; Tidakkah engkau melihat semua yang berada di langit dan bumi, juga matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok-pokok dan haiwan serta ramai manusia bersujud kepada Allah.” Maka, adakah wajar kita merampas hak alam dan isinya itu?

Maka, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan kuantiti dan kualiti air berada pada tahap yang tertinggi sehingga boleh digunakan oleh manusia dan makhluk hidup lain dalam generasi ini mahupun generasi akan datang. Bagi tujuan itu, perubahan cara hidup masa kini perlu dilakukan segera dan harus dilakukan secara bersama bagi memastikan kesan yang signifikan.

Salah satu perubahan adalah perubahan mikro yang melibatkan pengguna secara langsung. Dianggarkan setiap orang menggunakan antara 300 hingga 350 liter air sehari. Jika jumlah ini didarabkan dengan jumlah penduduk dunia yang mencecah tujuh bilion, maka boleh dibayangkan betapa banyak air diperlukan oleh manusia dalam sehari.

Dengan itu, pengguna hendaklah memberi tumpuan kepada pengurangan dan penjimatan serta mengamalkan penggunaan berhemah. Tahukah anda bahawa mengepam tandas dicatatkan sebagai aktiviti yang paling banyak menggunakan air di rumah dan ini diikuti dengan penggunaan air untuk mandi? Atas alasan inilah maka pada masa kini, tandas jimat air dan ruang mandi (pancuran air) menjadi fokus utama pemuliharaan air di rumah.

Perubahan makro, iaitu perubahan pada skala besar pula memerlukan perancangan teliti serta kerjasama semua pihak. Dalam konteks ini, alam seharusnya dilihat sebagai satu sistem yang besar dan rencam. Oleh itu, satu-satu pembangunan dirancang mesti boleh menjangkakan kesan alam sekitar bukan sahaja di tapak pembangunan tetapi merangkumi perubahan persekitaran tapak pembangunan secara menyeluruh.

Ini kerana pembangunan tanah di satu kawasan sebenarnya boleh memberi impak bukan sahaja terhadap kawasan tanah tersebut tetapi turut memberi kesan kepada sumber lain seperti air dan udara. Sebagai kesimpulan, perubahan adalah kata kuncinya di sini. Oleh itu, marilah sama-sama kita berubah untuk memastikan kesejahteraan sumber air.

4

Kepentingan air dalam kehidupan 

          Air merupakan sumber yang penting dalam kehidupan yang bernyawa. oleh di sebabkan itu, kita sebagai manusia seharusnya memelihara sumber utama kita untuk mengelakkan ianya dari tercemar dan menjejaskan kualitinya. 

Air merupakan sumber minuman kepada manusia untuk meneruskan hidup. apabila tubuh badan kekurangan air ianya mengakibatkan badan menjadi letih dan lesu kesan dari dehidrasi.

kegunaan air dalam kehidupan manusia juga adalah membersihkan makanan seperti membersihkan sayur-sayuran  dan buah buahan. 

haiwan dan tumbuhan memerlukan air untuk mereka meneruskan kehidupan dan tanpa air mereka akan mati dan layu.

digunakan untuk menyiram tanaman. contohnya mengunakan air untuk menjirus pokok bunga di halaman rumah.

selain itu, air di gunakan dalam industri untuk mencuci bahan mentah untuk menghasilkan produk industri.

di samping itu, air di gunakan dalam industri petanian untuk proses penyiraman tanaman agak ianya subur.

3

Air merupakan keperluan utama hidupan di muka bumi ini. Manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang memerlukan air untuk meneruskan kelangsungan hidup.

      Air ialah sumber minuman kerana tanpa air hidupan akan mati. Sumber minuman ini boleh didapati daripada aliran anak sungai dan diproses sebelum boleh digunakan. Tumbuhan pula bergantung kepada air hujan supaya dapat hidup dengan subur dan menjalankan proses fotosintesis.
      Selain itu, manusia juga menggunakan air untuk menjalani kehidupan seharian. Contohnya untuk memasak, mandi, mencuci dan sebagainya. Tanpa air, kehidupan manusia akan terjejas dan akan berlakulah kekalutan untuk mendapatkan air.

       Air juga adalah sumber penting kepada para petani untuk tamanan mereka. Tanpa air, tamanan akan kering dan layu serta terjejaslah sumber pendapatan para petani. Manusia juga akan mendapat kesusahan kerana kekurangan sumber makanan yang berasaskan sayur-sayuran dan bijirin.

       Di samping itu, kilang-kilang juga sangat memerlukan air dalam penghasilan produk mereka. Contohnya kilang yang membuat ais, minuman dan makanan. Tanpa air, operasi kilang akan terhenti dan pastinya menyebabkan kerugian yang besar kepada pekilang.

       Kesimpulannya, air adalah sumber semula jadi yang sangat penting dan berkaitan dengan kehidupan manusia. Namun, sebagai pengguna kita hendaklah berjimat semasa menggunakan air supaya tidak berlaku pembaziran.

2

Mungkin bagi kebanyakan kita, air seolah-olah tidak memainkan peranan yang begitu penting. Namun pada hakikatnya air, selain oksigen, merupakan bahan yang paling penting yang diperlukan oleh setiap manusia sepanjang hayatnya. Malangnya air sering diabaikan dalam diet, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Dalam kajian yang dilakukan di Hong Kong  baru-baru ini, hanya 50 peratus daripada mereka minum air sebanyak lapan gelas sehari. Manakala, yang lain-lainnya hanya minum apabila berasa dahaga saja.

            Sebenarnya, kita perlu memberikan perhatian terhadap kebaikan minum air dan menggalakkan kanak-kanak berbuat sedemikian. Amalan minum air yang cukup akan dapat menghindarkan berlakunya pendehidratan dan mengekalkan amalan membuang air besar. Di samping itu, kesihatan kulit dan rambut akan terjaga.

           Kita memperoleh air daripada cecair seperti air paip, susu, jus buah-buahan, kordial, minuman ringan dan sup. Makanan seperti nasi, roti, mi, buah-buahan, dan sayur-sayuran turut mempunyai sedikit air walaupun tidak cukup untuk memenuhi keperluan cecair kita.
           
          Air membentuk kira-kira 55-57 peratus daripada berat badan kita dan mempunyai peranan yang penting dalam hampir setiap fungsi utama badan. Air melaraskan suhu badan di samping membawa nutrien dan oksigen ke sel, serta menghapuskan sisa. Air turut melindungi sendi serta mengawal organ dan tisu. Tanpa makanan, manusia dapat hidup selama lapan minggu, tetapi tanpa air manusia akan mati dalam masa tiga hari.
          
         Jumlah air yang hilang sebagai keringat adalah berbeza-beza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Hal ini bergantung juga pada suasana sekitar, tahap kegiatan, dan saiz badan. Dalam kegiatan biasa, kita mengeluarkan kira-kira 500-600 ml peluh sehari. Input air perlulah sekurang-kurangnya sama dengan output air. Orang dewasa biasanya memerlukan air antara 8-12 gelas sehari. Jumlah air yang diperlukan oleh kanak-kanak pula bergantung pada umur, berat, dan kegiatan fizikal mereka. Oleh sebab saiz tubuh mereka adalah kecil, mereka akan mengalami pendehidratan yang cepat. Selain itu, keperluan air meningkat sekiranya kita banyak menghabiskan masa di luar rumah dalam cuaca panas, kerap bersenam, atau berada dalam bilik yang berhawa dingin.

1

Air ternyata mempunyai peranan yang sangat penting bagi kehidupan manusia. Selain itu, air juga sangat penting bagi tubuh manusia. Kandungan air pada tubuh manusia jumlahnya jauh lebih besar bila dibandingkan dengan kandungan zat-zat yang lain. Kandungan air pada tubuh bayi boleh mencapai 75% – 80% yang kemudian seiring dengan pertumbuhan tubuhnya, kandungan air pada manusia dewasa pula berkurang hingga mencapai 60% – 65% untuk lelaki dan 50% – 60% untuk wanita. Otak manusia juga terdiri dari 85%. Sedangkan tulang kita terdiri dari 10% – 15% air. Struktur kimia dari air adalah H2O dan baik hidrogen mahupun oksigen masing-masing memiliki peranan yang bukan lagi penting tetapi telah menjadi sangat penting dalam sistem kehidupan manusia. Ekoran daripada hal ini sudah tentunya kita inginkan badan yang sihat dan jauh dari penyakit merbahaya seperti jangkitan bakteria dan kuman yang tanpa kita sedari berpunca daripada air yang kita ambil setiap hari untuk keperluan badan kita. Hal ini dapat kita selesaikan dengan mengetahui tahap kesihatan air itu atau dalam erti kata yang lain dengan mengetahui tahap kualiti air itu sama ada tercemar ataupun selamat untuk diminum dan digunakan.

Terdapat beberapa jenis penyakit yang berbahaya jika kita menggunakan air yang tidak berkualiti dan tercemar. Antaranya ialah penyakit dairrhoel dimana ianya terjadi disebabkan sama ada virus atau bakteria patogen yang berada didalam air itu. Ini juga merupakan penyebab utama kematian kanak–kanak di negarnegara berpendapatan rendah. Selain itu, penyakit cholera (taun) yang disebabkan oleh jangkitan virus (kuman) iaitu vibrio cholera. Virus ini biasanya ditelan melalui air minuman yang tercemar kerana pengendalian yang tidak bersih atau melalui ikan yang tidak dimasak dengan betul. Ada juga penyakit seperti leptospirosis (kencing tikus), typhoid fever (demam kepialu) yang turut berpunca daripada air yang tidak berkualiti dan tercemar. Oleh itu pentingnya untuk masyarakat diberi pendedahan mengenai kepentingan kualiti air ini. Perkara-perkara sebegini mungkin masih mampu dikurangkan dan dihindari sekiranya setiap masyarakat menjalankan tanggungjawab mereka masing-masing terhadap apa yang mereka ambil dan juga kepada ekosistem di sekitar. Kesedaran ini secara tidak langsung akan mampu untuk mengurangkan aktiviti-aktiviti yang hanya memberi kesan tidak baik kepada air seperti pembuangan sisa toksik, perlombongan terhadap sungai-sungai dan juga tasik.

Berkaitan air daripada bekalan paip air awam pula, terdapat ramai masyarakat yang tertanya-tanya sama ada ianya adalah selamat untuk diminum tanpa melalui proses rawatan tambahan seperti menggunakan alat penapis air (water filter) atau bagaimana. Bagi memberi pencerahan kepada persoalan ini, saya telah mendapatkan maklumat mengenainya di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia. Menurut laman itu, bekalan air awam telah melalui suatu proses rawatan yang ketat mengikut fasa-fasa rawatan yang ditetapkan hingga dapat mencapai piawaian yang dikehendaki. Fasa-fasa proses rawatan yang asas adalah bermula dengan rawatan Pengudaraan, Flokulasi dan Kogulasi, Pemendapan, Penapisan, Pembetulan pH (jika perlu), Flouridasi dan Pengklorinan. Proses rawatan tersebut terbukti dapat menyah-lupus semua unsur-unsur yang tidak dikehendaki pada air minum. Kawalan kualiti pula dijalankan pada peringkat akhir proses rawatan sebelum pengagihan bekalan air dilakukan manakala pemantauan secara rutin dan berkala dilaksanakan disepanjang rangkaian sistem bekalan air sebelum diterima oleh pengguna. Dengan itu bekalan air yang dibekalkan daripada bekalan paip air awam adalah selamat untuk diminum tanpa perlu melalui apa-apa proses selanjutnya.

Suatu lagi persoalan yang sering merungsingkan fikiran masyarakat kita adalam apabila melihat kepada kekeruhan yang berlaku pada bekalan air awam dan adakah kekeruhan boleh memberi kesan kepada kesihatan? Sebenarnya, kekeruhan terjadi pada sesuatu badan air (water body) disebabkan kehadiran bahan-bahan terampai yang terdapat di dalam air tersebut seperti kelodak atau enap cemar. Bahan terampai ini boleh menjadi tempat perlindungan kepada mikrorganisma khususnya mikrorganisma patogen. Kekeruhan bekalan air awam juga boleh berlaku disebabkan oleh penggunaan paip air yang telah usang dan berusia, penyelenggaraan tangki air (SRO) tidak dilakukan secara berkala, kerosakan atau kebocoran sistem rangkaian paip, kerja-kerja baik-pulih paip rangkaian. Manakala proses pembasmian kuman (pengklorinan) pula menjadi kurang efektif sekiranya tahap kekeruhan itu terlalu tinggi. Walaubagaimanapun pemantauan ke atas bekalan air awam sentiasa dilakukan secara rutin supaya tahap kekeruhan tidak melebihi paras maksimum yang dibenarkan iaitu 5 NTU.

Berkaitan teknologi yang digunapakai di era moden ini bagi menapis air sudah tidak asing lagi kita dengar melalui iklan-iklan yang memerusi media massa seperti televisyen, radio, suratkhabar, laman sesawang dan sebagainya. Tetapi yang menjadi persoalannya, sejauh manakah kita mengetahui bahawa sistem penapisan yang manakah baik untuk kesihatan kita. Yang acapkali kita dengar adalah sistem penapisan RO Water (Reverse Osmosis Water), tetapi yang jarang kita dengar adalah sebenarnya air yang dihasilkan melalui sistem ini adalah tidak baik untuk kesihatan kita kerana air ini tidak mengandungi sebarang zat yang diperlukan oleh badan kita. Setiap hari kita kebiasaanya tidak mengambil makanan dengan zat yang betul bukan, jadi disini air lah yang menjadi punca meneutralkan dan menambah zat di dalam badan kita. Cuba bayangkan sekiranya air yang kita ambil itu langsung tidak mempunyai zat, bagaimana ia mampu untuk menyokong sistem dalam badan kita? Sebenarnya masih banyak teknologi penapisan air yang mempunyai mineral yang tinggi dalam airnya yang banyak di negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun yang sangat menitikberatkan kualiti air. Antaranya teknologi nano dan juga penapis Cuckoo dimana air yang dihasilkan menerusi teknologi ini sangat baik untuk tubuh badan kita.

Akhir sekali, ingin saya tegaskan sekali lagi menerusi penulisan ini bahawa kualiti air sangat penting dalam kehidupan kita dan perlu dititikberatkan demi menjamin kesihatan kita juga demi mengurangkan pencemaran yang berlaku. Hal ini dapat dijayakan sekiranya masyarakat sedar mengenai kepentingan kualiti air ini.